BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyindir sikap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sebelum ini secara terbuka menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, tetapi ‘di belakang’ berusaha untuk menumbangkan Naib Presiden Umno itu seperti dilaporkan media.
Menurut Ahli Parlimen Pekan itu, Muhyiddin dilihat ingin kembali menjadi Perdana Menteri dengan cuba meraih sokongan daripada beberapa pemimpin pembangkang.
“Pelik dengan dia ni. Secara terbuka dia kata dia sokong Ismail jadi PM (Perdana Menteri).
“Di belakang pula, dia berusaha kuat minta sokongan merata-rata secara tersorok untuk tumbangkan Ismail. Bila digelar pengkhianat, dia marah pula,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mendedahkan beliau didatangi Muhyiddin untuk mendapatkan sokongan menjadi Perdana Menteri ke-10.
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim turut mengakui ada bertemu dengan Muhyiddin namun menyifatkan pertemuan itu sebagai perbincangan biasa tanpa menyentuh kerjasama politik atau menyokong Muhyiddin kembali menjadi Perdana Menteri.
Sementara itu, Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal turut memaklumkan Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) ada menghubunginya untuk membentuk kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Dia mahu jadi jadi PM kembali, dia pun berhubung dengan Mahathir, Anwar dan Shafie secara tersorok untuk minta sokongan.
“Tapi ketiga-tiga yang dia minta sokongan juga mahu jadi PM. Jadi, siapa yang akan jadi PM jikapun kerjasama mereka berjaya?,” kata Najib.
Najib berpendapat, sekiranya kerjasama itu berjaya dibentuk kelak, sejarah kerajaan ‘tikam-menikam’ dan tidak stabil pasti akan berulang seperti ketika Pakatan Harapan menang PRU-14.
“Nanti hari mereka tentu akan tikam-menikam sekali lagi dan sejarah kerajaan tak stabil pasti akan berulang,” katanya.
Beliau secara sinis mengucapkan tahniah atas kerjasama yang cuba dibentuk itu.
“Apapun, welcome back PH 2.0!,” katanya. – Malaysiapost

