Orang Melayu terhutang budi dengan Kit Siang – Anwar

0
1

KETUA Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, berpendapat orang Melayu terhutang budi kepada veteran DAP, Lim Kit Siang kerana mendidik masyarakat mengenai hak mereka di negara ini.

Beliau berkata, penglibatan Kit Siang bukan sahaja berkisar mengenai politik dan negara malah berkenaan sensitiviti dan persepsi kaum.

Presiden PKR itu berkata, Kit Siang berbeza dengan pemimpin Melayu tertentu dalam arena politik.

“Berbeza dengan tanggapan sesetengah orang bahawa Melayu ini malas, bergantung kepada subsidi, tak kenang budi, senang lupa, Kit Siang berpendapat, orang Melayu bekerja keras, tiada istilah peribumi malas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis makan malam penghargaan buat veteran DAP itu malam tadi.

Anwar berkata, tiada gelaran Datuk, Tan Sri mahupun Tun yang boleh menandingi ketokohan Kit Siang bagi mengiktiraf sumbangan beliau kepada politik di Malaysia.

“Dan sebagai rakyat Malaysia dan orang Melayu, kami terhutang budi dengan anda, Kit Siang, kerana mendidik orang ramai mengenai hak mereka di negara ini,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar memuji Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu atas integriti dan komitmen untuk kekal konsisten dalam perjuangannya serta tidak pernah berkompromi berkenaan prinsipnya.

“Dalam politik, kita perlukan integriti, keberanian dan kecekalan ini. Kualiti ini terjelma dalam diri Lim. Rakyat Malaysia akan sentiasa bangga dengan anda,” katanya.

Kit Siang, 81, pada 20 Mac lalu mengumumkan persaraannya selepas 56 tahun berkecimpung dalam arena politik tanah air.

Beliau mengesahkan tidak akan menyertai bagi mana-mana kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menarik diri daripada pemilihan untuk kerusi dalam jawatankuasa eksekutif pusat parti.

Bagaimanapun, Kit Siang kemudiannya dinamakan sebagai mentor DAP oleh jawatankuasa pusat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here