MALAYSIA hanya boleh menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia jika rakyatnya berpegang kepada impian Malaysia, bukannya impian Melayu, impian Cina, impian India, impian Kadazan, atau impian Dayak, kata veteran DAP Lim Kit Siang.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, berpendapat inilah cabaran yang dihadapi oleh para pemimpin politik sekarang iaitu bagaimana untuk menyalakan semula, memberikan inspirasi, menyuntik tenaga, harapan, dan inspirasi untuk Impian Malaysia.
Menurutnya, rakyat perlu memastikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menyambung semula harapan untuk reformasi dan menyelamatkan negara yang dibawa dalam PRU-14 sebelum ini.

Beliau berkata, dalam PRU-14 rakyat baik di dalam atau di luar negara berusaha sedaya upaya memastikan setiap undi dikira, dan akhirnya berjaya mencapai keajaiban politik dengan buat pertama kali menukar kerajaan.
“Adakah Malaysia telah sampai ke satu tahap akhir, di mana masa hadapannya ditakdirkan sebagai sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan negara gagal? Saya tidak berasakan begitu.
“Selagi mana rakyat Malaysia tidak termakan hasutan yang cuba mengatakan bahawa mana-mana kaum atau agama diancam, maka Impian Malaysia ini masih lagi relevan dan penting,” ucapannya di majlis makan malam persaraannya malam tadi.
Beliau berpendapat dalam mengejar impian Malaysia untuk menjadikan negara kita negara hebat yang bertaraf dunia, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah untuk menyedari hakikat yang kita sedang ketinggalan di belakang.
“Kita telah mundur dalam usaha untuk menjadi sebuah negara hebat yang bertaraf dunia, termasuklah dari perspektif sebagai sebuah negara yang berdaya saing untuk menarik pelaburan asing untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran.
“Ini merupakan satu perkara yang amat penting selepas negara kita berhadapan dengan kerosakan ekonomi selama dua tahun akibat pandemik Covid-19,” katanya.
Menurutnya, untuk menjadi sebuah negara hebat, perlu memastikan adanya keyakinan dan kepercayaan rakyat, tadbir urus yang baik dan demokratik, pelaburan infrastruktur atau pembangunan sumber manusia.
“Masanya telah tiba untuk membunyikan semboyan, untuk memberikan kesedaran kepada rakyat Malaysia, yang kita sedang ditinggalkan di belakang semakin banyak negara.
“Kita memerlukan tenaga seluruh negara untuk menjadikan negara hebat semula sekiranya kita tidak mahu melihat Malaysia ditinggalkan di belakang, sebagai sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan sebuah negara yang gagal,” katanya. – Malaysiapost

