PPM rampas diesel bersubsidi, lori tangki bernilai RM1.02 juta

0
2

PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Johor menumpaskan aktiviti penyelewengan 94,398 liter minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di Jalan Kempas Lama, Off Jalan Skudai, Johor Bahru, Johor, kelmarin.

Dalam operasi kira-kira 4.30 pagi itu, semua minyak diesel bersubsidi dan lori tangki yang dirampas dianggarkan bernilai RM1.02 juta.

Komander PPM Wilayah Dua, Johor Asisten Komisioner Muhd Zailani Abdullah, berkata serbuan dijalankan Unit Risik Marin yang berjaya mengesan sebuah premis yang dijadikan stor tempat penyimpanan minyak diesel bersubsidi.

“Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemukan tiga lori tangki dan tangki yang berisi keseluruhan 94,398 liter minyak diesel bersubsidi.

“Dalam operasi ini, pasukan operasi turut menahan tujuh lelaki rakyat tempatan berusia lingkungan 28 hingga 51 tahun yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyelewengan berkenaan untuk membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, turut disita, dua lori tiga tan yang telah diubah suai bagi mengangkut minyak dan satu treler bersama beberapa peralatan pam minyak serta wang tunai berjumlah RM61,664.

“Kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, untuk tindakan selanjutnya dan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Muhd Zailani berkata, pihaknya sentiasa menjalankan operasi bagi mengekang sebarang aktiviti jenayah dan pelanggaran undang- undang rentas sempadan.

“PPM Wilayah Dua turut menyeru masyarakat untuk sama-sama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membenteras sebarang bentuk jenayah terutamanya melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam masyarakat maritim.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada PPM Wilayah Dua di talian 07-2372221,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here