Nak tangkap mat rempit dapat sekali penyeludup migran

0
1

TINDAKAN polis membuat sekatan jalan di Kilometer (KM) 201 Lebuhraya Pantai Timur (LPT 1) menghala Kuantan, semalam bagi menahan kumpulan mat rempit, turut berjaya membawa penahanan kepada aktiviti jenayah penyeludupan migran.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Datuk Mat Kasim Karim, berkata operasi samseng jalanan itu dijalankan Unit Polis Rondaan Lebuh Raya (EMPV) Zon Timur, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Menurutnya, ia berikutan pihak JSPT menerima maklumat terdapat lebih kurang 100 motosikal sedang berkonvoi disyaki melakukan aksi berbahaya sehingga mencetuskan kegusaran kepada pengguna lebuh raya lain.

“Semasa penahanan kumpulan motosikal ini dilakukan, berlaku sedikit kesesakan lalu lintas dan terdapat sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Nissan X-Trail dipandu lelaki yang telah berhenti di lorong Kecemasan dalam keadaan mencurigakan.

“Semasa kenderaan polis sampai dan mahu melakukan pemeriksaan, suspek bertindak memecut kenderaannya sehingga mahu melanggar kenderaan dan anggota polis trafik bertugas,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, walaupun suspek telah diarahkan berhenti, tetapi suspek tetap cuba melepaskan diri sehingga mahu melanggar anggota polis di lokasi kejadian selain kenderaan suspek turut melanggar beberapa kenderaan awam lain.

“Mengambil kira keadaan yang boleh mengancam nyawa, selain pemanduan suspek secara melulu dan berbahaya sehingga boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada pihak polis serta nyawa orang awam lain, polis telah melepaskan tembakan amaran ke udara.

“Suspek gagal berhenti sehingga tembakan dilepaskan ke arah tayar kenderaan suspek dan berjaya dihentikan sebelum pemeriksaan mendapati 12 lelaki Myanmar tanpa sebarang dokumen pengenalan diri berada dalam kenderaan itu,” katanya.

Menurutnya, pemandu dan penumpang hadapan pula adalah lelaki tempatan yang turut cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

“Dalam kejadian ini tiada sebarang kecederaan dilaporkan, suspek dan kesemua warganegara asing tersebut telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) kerana cubaan membunuh dan Seksyen 186 KK kerana menghalang penjawat awam, selain siasatan mengikut Seksyen 56(1)(d) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” katanya.

Mat Kasim berkata, bagi tindakan ke atas kumpulan motosikal pula, seramai tiga lelaki ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan 14 motosikal disita serta 138 Saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

“JSPT menyeru orang awam tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak benar berkaitan kejadian ini dimana siasatan menyeluruh dari pelbagai aspek sedang dilakukan oleh Polis Pahang,” katanya.

Terdahulu tular beberapa video memaparkan kejadian polis mengejar sebuah SUV sebelum berjaya menahannya, selain terdapat kumpulan motosikal yang dihalang dengan sebuah lori di LPT 1 untuk pemeriksaan polis. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here