‘Semangat ibu sentiasa ada bersama daddy’ – Shuib

0
1
shuib sarah

PELAKON dan pelawak Shuib meluahkan rasa syukur kerana akhirnya dapat menunaikan hajat Allahyarham Siti Sarah dengan menyiapkan dua rumah yang musnah dalam kebakaran yang berlaku di Bachok, Kelantan, tahun lalu.

Dalam hantaran di Instagram, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37, berkongsi video mengimbau kembali kunjungan pertama bersama arwah isterinya ketika melawat mangsa yang terlibat dalam kejadian tersebut.

“Walaupun hari ini datang tanpa ibu, tapi semangat ibu sentiasa ada bersama daddy ya.

“Ibu (Siti Sarah) yang paling bersemangat hendak membantu dan hari ini (semalam) alhamdulillah daddy dan pasukan Bubblebee Malaysia akan ke Bachok untuk penyerahan kunci rumah.

“Terima kasih kepada semua yang merealisasikan impian ini. Ibu, alhamdulillah rumahnya sudah siap sayang,” tulisnya.

Dalam entri itu juga, Shuib memberitahu urusan penyerahan kunci kepada dua pemilik rumah yang dikenali sebagai Makcik Siti Hawa dan Kak Mah telah selesai.

“Semoga Makcik Siti Hawa dan Kak Mah selesa dengan rumah ini, semoga selepas ini segala urusan dipermudahkan,” ujarnya lagi.

Hantaran itu dibanjiri dengan komen peminat mendoakan semoga perniagaan Shuib bertambah maju dan dapat membantu lebih ramai golongan yang kurang berkemampuan.

Allahyarham Siti Sarah meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akibat jangkitan Covid-19 pada 9 Ogos tahun lalu.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 7, dan Ayash Affan yang kini berusia enam bulan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here