PDRM ambil untuk siasat kematian Baby Syifaa – Abd Jalil

0
2

KUALA LUMPUR, 30 Jun -- Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan memberi penerangan pada sidang media selepas sesi lawatan kerja di Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras hari ini. --fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

KERTAS siasatan kes kematian seorang bayi perempuan berusia 15 bulan yang dipercayai terjerut leher pada kain buaian di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Taman Nusari Aman 2, Bandar Sri Sendayan, pada 22 Februari lalu, sudah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri Sembilan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata kertas siasatan itu bagaimanapun telah dikembalikan semula dengan beberapa arahan lanjut yang perlu diambil tindakan dalam melengkapkan siasatan.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) maklum tentang kerisauan keluarga mangsa dan orang ramai berkaitan siasatan yang dijalankan ke atas kematian bayi berkenaan.

“PDRM mengambil masa untuk menyiasat kes ini kerana perlu mendapatkan beberapa laporan dari agensi berkaitan bagi memastikan siasatan dibuat secara menyeluruh, adil dan saksama.

“PDRM tidak pernah sesekali menafikan hak sesiapa dalam menjalankan siasatan kes ini yang disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, PDRM juga sentiasa berpegang teguh kepada prinsip undang-undang ‘justice delayed is justice denied’.

“Justeru, PDRM menyeru kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan memberikan ruang serta masa bagi memastikan siasatan dibuat secara menyeluruh, holistik dan komprehensif,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Nour Rania Asyifaa Yuseri yang berusia 15 bulan meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian dan dikatakan lehernya terjerut kain buaian di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Seri Sendayan pada 22 Februari lalu.

Susulan itu bapanya, Yuseri Yusoff, 39, tidak berpuas hati dan mahukan keadilan berhubung kematian anaknya yang dipanggil Baby Syifaa itu kerana mendakwa sehingga kini tiada sebarang dakwaan dibuat susulan kematiannya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here