RANG Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang bertujuan mencegahkan pengkhianatan terhadap parti dan ahli-ahlinya serta rakyat sebagai pemilih akan bakal mematangkan politik negara, kata veteran Umno Tan Sri Shahrir Samad.
Beliau berkata, akhirnya sudah ada tarikh untuk membawa undang-undang mencegah ‘katak-katak politik’ atau amalan lompat parti itu ke Dewan Rakyat iaitu pada 11 April ini.
Menurutnya, isu lompat parti bukan tidak pernah berlaku pada masa dahulu dan ianya pernah dibawa ke mahkamah tetapi telah ‘dihalalkan’ sebagai suatu hak individu di bawah Perlembagaan Malaysia.
“Ketika itu ia suatu yang enteng. Hanya bagaikan kocakan air dalam cawan. Namun, kejadian lompat parti ini berlaku dengan hebatnya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Pada awalnya ianya untuk mengukuhkan kedudukan parti Bersatu dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) semasa Tun Dr Mahathir Perdana Menteri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, pada ketika itu, parti-parti seperti DAP, PKR dan Amanah tidak menganggapkan ianya suatu amalan buruk dan mencabar integriti politik kerajaan PH itu sendiri.
“Mereka menerima ‘katak-katak politik’ ini sebagai rakan-rakan yang sudah ‘insaf’. Maklumlah, yang terkesan dari amalan buruk ini adalah Umno, iaitu seteru politik mereka yang sudah dihasut dan difitnahkan mereka dengan gesaan kepada rakyat ‘Asalkan Bukan Umno”.
“Apabila berlakunya ‘Langkah Sheraton’ dan kerajaan PH jatuh kerana perletakan jawatan Tun Mahathir, barulah DAP, PKR dan PAN (Amanah) mengakui bahawa ‘katak-katak politik’ ini sebenarnya tidak jujur dan tidak beramanah,” katanya.
Shahrir berkata, perbincangan mengenai undang-undang untuk mencegah amalan lompat parti telah bermula tahun lalu sebagai suatu reformasi penting dan perlu terhadap institusi politik negara.
“Selaku pengerusi Bait Al Amanah, pada pertengahan tahun 2021, saya telah menganjurkan perbincangan ke arah penggubalan undang-undang untuk mencegah amalan lompat parti.
“Termasuk juga kaedah ‘recall elections’ atau pilihan raya menukarkan wakil rakyat yang mengingkari mandat pemilih,” katanya.
Beliau berkata, tarikh 11 April ini adalah suatu tarikh yang sangat dinanti-nantikan untuk membersihkan politik negara dari percaturan elit politik semata-mata untuk mengekalkan kuasa tanpa mengendahkan prinsip.
“Parti politik adalah institusi politik yang penting dalam amalan demokrasi negara. Begitu juga dengan mandat rakyat melalui pilihan raya,” katanya. – Malaysiapost

