YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah disahkan positif Covid-19.
Berita tersebut dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, menerusi kenyataan media, hari ini.
Sultan Abdullah berkenan menjalani kuarantin kendiri di Istana Negara sehingga 7 April manakala Raja Permaisuri Azizah pula akan menjalani kuarantin sehingga 8 April ini.

“Adalah dimaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda berdua hanya mengalami gejala ringan.
“Kesihatan Seri Paduka Baginda berdua secara amnya adalah dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan.
“Bersempena ketibaan bulan Ramadan yang mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menyeru rakyat supaya sentiasa waspada dan mengamalkan kawalan kendiri meskipun negara telah memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik Covid-19 kelmarin,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu juga, seluruh rakyat diseru untuk bersama mendoakan semoga Seri Paduka Baginda berdua dikurniakan kesembuhan dengan segera serta dikurniakan keafiatan yang berpanjangan. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Istana Negara

