PENGAKUAN kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Perak yang tidak mengetahui mengenai penjualan tanah Lapangan Terbang Antarabangsa Ipoh yang baharu ketika memerintah negeri berkenaan dilihat sebagai sesuatu yang melucukan.
Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, warga Perak bukan sahaja tak dapat lapangan terbang baharu yang dinanti-nantikan seperti diumum dan dijanji kerajaan Barisan Nasional (BN) jika menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) malah tapaknya turut dijual kerajaan PH.
“Saya yang umum lapangan terbang baharu di Ipoh sebelum PRU-14. Lokasi dikenal pasti di Seri Iskandar.
“Tapak tanah bagi pembinaan lapangan terbang baharu Ipoh pun dirizabkan kepada Perbadanan Kemajuan negeri Perak (PKNP) oleh kerajaan negeri BN dahulu.
“Namun Menteri Besar Perak ketika ini dedahkan bahawa tapak tanah tersebut telah dijual ketika pemerintahan kerajaan PH antara tahun 2018 hingga 2019,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, apa yang melucukan adalah bekas Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk pengerusi Amanah Perak, Datuk Asmuni Awi dan pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mendakwa tidak mengetahui penjualan itu.
“Bekas Exco dan juga ADUN PH termasuk pengerusi Amanah Perak dan pengerusi DAP Perak pula kata mereka tak tahu tanah itu telah dijual masa mereka memerintah dan dakwa ianya ‘tindakan tidak bertanggungjawab individu-individu tertentu’,” katanya yang memetik laporan sebuah portal mengenai perkara itu.
Terdahulu, Asmuni tampil memberi penjelasan bahawa penjualan tanah tersebut tidak pernah dibangkit dan dibincangkan dalam mesyuarat Exco untuk diluluskan.
Beliau yang juga Exco Kerajaan Perak ketika pemerintahan PH berkata, isu penjualan tanah lapangan terbang di Seri Iskandar, Perak, adalah di luar pengetahuan mereka ketika di bawah pentadbiran gabungan itu.
Asmuni menjelaskan, perkara itu tidak diketahui sehingga dibangkitkan oleh Kor Ming yang juga ADUN Aulong, ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Selasa lalu.
Kor Ming yang membangkitkan perkara itu dan ia disahkan oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad. – Malaysiapost

