Wakil Tetap Malaysia ke Asean meninggal dunia

0
1

WAKIL Tetap Malaysia ke Asean, Kamsiah Kamaruddin, 54, meninggal dunia di Hospital Siloam Semanggi, Jakarta, semalam akibat denggi dan komplikasi kesihatan.

Allahyarhamah juga merupakan Wakil Malaysia ke Majlis Pentadbiran Institut Keamanan dan Rekonsiliasi Asean (ASEAN-IPR).

Berita sedih itu dikongsikan Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dalam satu hantarannya di Facebook yang menzahirkan rasa sedih dan pilu dengan perkhabaran duka itu.

“Sedih dan pilu mendapat perkhabaran duka daripada Jakarta bahawa Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN, Kamsiah Kamaruddin telah pulang ke rahmatullah.

“Allahyarhamah telah berkhidmat di Wisma Putra sejak 1992 dan pernah bertugas di Thailand serta Singapura. Manakala Suami Allahyarhamah merupakan Duta Besar Malaysia ke Filipina.

“Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang dikasihi-Nya, dan didoakan keluarga tabah menghadapi cabaran ini,” katanya.

Perkara itu turut dikongsikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang menyifatkan pemergian Allahyarhamah sebagai satu kehilangan besar kepada negara, khususnya kepada Kementerian Luar Negeri.

“Saya menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Kamsiah Kamaruddin, Wakil Tetap Malaysia ke ASEAN (Jakarta), yang telah kembali ke rahmatullah semalam.

“Allahyarhamah merupakan rakan baik yang telah saya kenali sejak 30 tahun yang lepas. Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here