BAHAGIAN Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan dua produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual jenis merkuri.
Pengarah NPRA Norhaliza A Halim berkata, dua produk kosmetik berkenaan ialah ‘LS repairing cream’ dan ‘Luffiya treatment foundation’.
Katanya, susulan itu notifikasi kedua-dua produk kosmetik berkenaan telah dibatalkan dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia
Menurutnya, merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.
“Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. la juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.
“Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau memberi peringatan kepada penjual dan pengedar produk kosmetik berkenaan untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.
“Penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Individu yang melakukan kesalahan ini boleh dikenakan denda maksimum RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.
“Denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya,” katanya.
Beliau berkata, bagi syarikat yang melakukan kesalahan berkenaan pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya. – Malaysiapost

