Bekas Ketua Pengarang Berita TV3 tuntut permohonan maaf, ganti rugi RM3 juta

0
1

BEKAS Ketua Pengarang Berita TV3, Khaidir Ahmad menuntut permohonan maaf secara terbuka serta ganti rugi RM3 juta daripada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Mohd Rosdy Wan Ismail dan Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Khaidir yang juga aktivis alam sekitar turut menamakan dua lagi pihak dalam notis tuntutan berkenaan iaitu portal Berita Kerajaan Negeri PahangKu Media dan Ketua Pengarang PahangKu Media, Azam Abdul Rahman.

Tuntutan itu dibuat susulan kenyataan fitnah yang dibuat terhadap dirinya menerusi posting atau terbitan di akaun Facebook PahangKu Media bertajuk ‘Iklan ubat kuat Khaidir Ahmad: Eksploitasi kanak-kanak dan manipulasi gambar kayu baru dipotong’ pada 10 Januari 2022.

Surat tuntutan bertarikh 18 Mac 2022 itu dibuat menerusi firma guaman Law Practice of Rafique yang beribu pejabat di Shah Alam, Selangor.

Menerusi surat tuntutan itu, Khaidir yang juga Aktivis Alam Sekitar dan Rakyat, antara lain menyifatkan kenyataan berkenaan adalah tidak benar, berniat jahat dan berunsur fitnah.

“Ini kerana menggambarkan beliau seorang yang salah, terpesong serta memiliki keperibadian yang teruk dan individu mempergunakan kedudukan dan pengaruhnya dengan cara yang salah untuk melakukan perkara yang menyalahi undang-undang demi untuk menjatuhkan pemimpin-pemimpin Kerajaan Negeri Pahang.

“Selain itu, ia juga menggambarkan beliau, seorang yang tidak berperikemanusiaan yang hanya mengeksploitasi kanak-kanak dan terlibat dalam perniagaan ubat kuat lelaki.

“Termasuk seorang yang mempunyai tabiat di luar tabii seperti pelaku amang seksual dan gemar mengeksploitasi kanak-kanak bagi tujuan meraih populariti,” katanya.

Sehubungan itu, Khaidir meminta pihak terbabit menarik balik kesemua kenyataan bersifat fitnah yang terkandung dalam posting Facebook berkenaan.

Selain permohonan maaf secara terbuka serta membayar ganti rugi RM3 juta dan kos guaman RM55,000 dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh surat tuntutan itu.

“Jika gagal mematuhi Notis Tuntutan itu, Khaidir mengarahkan peguam beliau memulakan prosiding undang-undang terhadap empat pihak yang dinamakan dalam tuntutan berkenaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here