
PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap rakyat dapat memanfaatkan pembukaan semula sempadan negara yang bermula hari ini.
Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri, berkata pembukaan sempadan amat penting dalam usaha pemulihan ekonomi negara, termasuk sektor perdagangan dan pelancongan negara.
Beliau berkata, pihaknya juga yakin negara akan menikmati manfaat daripada perjalanan masuk warganegara asing ke Malaysia.
“Alhamdullilah, hari ini sempadan negara dibuka sepenuhnya setelah ditutup sejak awal tahun 2020 akibat pandemik Covid-19.
“Pembukaan semula ini selari dengan syor MPN yang dipengerusikan saya supaya sempadan negara dibuka tanpa keperluan menjalani kuarantin lagi.
“MPN berpendapat pembukaan sempadan amat penting dalam usaha pemulihan ekonomi negara, dan ia adalah satu langkah ke hadapan yang akan memberi isyarat kepada dunia bahawa Malaysia kini terbuka untuk perniagaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, proses keluar-masuk terutama di pintu masuk darat Johor-Singapura juga telah dipermudah dan ia akan memberi faedah kepada lebih 300,000 warga Johor yang berulang-alik sebelum pandemik Covid-19 melanda.
“Ramai yang terjejas akibat penutupan sempadan negara dan ada juga yang tidak dapat pulang ke tanah air sejak pandemik melanda seluruh dunia.
“Selamat kembali ke tanah air dan saya berharap anda semua dapat memanfaatkan pembukaan semula sempadan negara ini,” katanya.
Muhyiddin berkata, buat rakyat Malaysia yang akan menyambut Ramadan tidak lama lagi, pembukaan ini sudah tentulah amat dinanti-nantikan kerana mereka dapat kembali menjalani ibadah berpuasa bersama ahli keluarga masing-masing.
“Hari ini juga merupakan hari pertama peralihan ke fasa endemik yang mana sekatan-sekatan bagi mengekang penularan Covid-19 telah dilonggarkan.
“Peralihan ke fasa endemik ini dapat dilakukan setelah semua negeri di Malaysia berjaya beralih secara selamat dan teratur ke Fasa 4 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Bermula Julai 2021, kerajaan menetapkan sesebuah negeri boleh beralih ke Fasa 2, 3 dan 4 di bawah PPN berdasarkan nilai ambang yang ditetapkan seperti kadar kemasukan ke hospital bagi kes bergejala, penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) serta peratusan lengkap divaksinasi,” katanya. – Malaysiapost
