‘Angin perubahan’ pengundi Cina, tidak mustahil BN tawan Pulau Pinang

0
1

MCA yakin angin perubahan yang ditunjukkan masyarakat Cina terhadap politik negara akan membantu Barisan Nasional (BN) menawan semula Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha MCA Pulau Pinang Yeoh Chin Kah berkata, ‘majoriti senyap’ dalam kalangan pengundi Cina telah memberi gambaran bahawa BN tidak mustahil boleh merampas kembali tampuk pemerintahan negeri itu yang terlepas kepada DAP sejak 2008.

Bagaimanapun, Chin Kah berkata, ini bukan hanya berdasarkan lawatan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke negeri itu minggu lalu, tetapi juga trend pengundian yang ditunjukkan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.

“Kita mesti faham sikap kaum Cina. Mereka kebanyakannya senyap. Kita tak boleh cakap sambutan terhadap acara Najib sahaja menjadi petunjuk sokongan.

“Terdapat satu bahagian besar pengundi Cina yang konservatif dan senyap. Mereka hanya akan mendedahkan perasaan sebenar mereka di peti undi,” katanya dipetik FMT, hari ini.

Mengulas lanjut, Chin Kah berkata, terdapat perubahan undi yang ketara ke arah BN semasa PRN Johor, Melaka dan Sarawak baru-baru ini.

Menurutnya, di Johor, pengundi berusia 18 hingga 21 tahun mengundi BN, manakala mereka yang berusia 30 hingga 40 tahun menyokong Pakatan Harapan (PH).

“Mereka dalam kumpulan umur 30-40 tahun menyokong PH mungkin kerana terpengaruh dengan perhimpunan Bersih selama ini.

“Bagaimanapun, kumpulan 18-21 tahun mempunyai rekod bersih tanpa pengaruh. Hasilnya mereka memilih BN. Di Pulau Pinang, kami rasa golongan muda akan membantu mengalihkan undi kepada BN,” katanya.

Jumaat lalu, Najib dikerumuni orang ramai ketika melawat Pulau Pinang, di mana beliau memberi ucapan pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Pulau Pinang ke-2.

Menariknya, kehadiran Najib mendapat sambutan baik daripada masyarakat Cina yang menunjukkan sokongan di setiap lokasi yang dikunjungi Najib di pulau itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here