MALAYSIA diundi berada dalam satu kumpulan bersama Juara Piala Thomas 2014, Jepun pada kejohanan yang bakal berlangsung di Bangkok, Thailand, pada 8 Mei depan.
Undian yang berlangsung secara maya hari ini memberikan peluang kepada Malaysia untuk menebus kekalahan 1-4 kepada pasukan pilihan kedua itu pada peringkat kumpulan tahun lalu, selepas kedua-dua pasukan diundi sekali lagi berada dalam Kumpulan D.
Selain Jepun, pasukan Malaysia yang kali terakhir merasai nikmat juara 30 tahun lalu, dijangka tidak menghadapi masalah untuk mengatasi England dan New Zealand yang juga berada dalam kumpulan sama, bagi melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
Pilihan utama kejohanan yang juga merupakan penyandang juara edisi lalu iaitu Indonesia pula akan mengetuai Kumpulan A bersama Korea, tuan rumah Thailand dan Singapura.
Juara 10 kali yang juga pilihan ketujuh kejohanan iaitu China diundi bersama Denmark, Perancis dan Algeria.
Mengikut format kejohanan, dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan Piala Thomas dan Piala Uber akan layak ke suku akhir.
Bagaimanapun laluan sukar menanti pasukan Piala Uber negara apabila diundi dalam Kumpulan C bersama tuan rumah Thailand l, Denmark dan Mesir.
Juara bertahan China pula diundi bersama Taiwan, Sepanyol dan Australia dalam Kumpulan B.
Naib juara edisi lalu, Jepun diundi dalam Kumpulan A bersama Indonesia Perancis dan Jerman.
Kumpulan A – Indonesia, Korea, Thailand, Singapura
Kumpulan B – Denmark, China, Perancis, Algeria
Kumpulan C – Taiwan, India, Jerman, Canada
Kumpulan D – Jepun, Malaysia, England, New Zealand
Undian Piala Uber:
Kumpulan A – Jepun, Indonesia, Jerman, Perancis
Kumpulan B – China, Taiwan, Sepanyol, Australia
Kumpulan C – Thailand, Denmark, Egypt, Malaysia
Kumpulan D – Korea, India, Kanada, Amerika Syarikat

