Lelaki rugi RM747,000 terpedaya sindiket Macau Scam

0
1

SEORANG lelaki kerugian RM747,000 akibat ditipu sindiket ‘Macau Scam’ yang menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kejadian bermula 27 Januari apabila mangsa yang juga seorang pengamal perubatan berusia 30 tahun, menerima panggilan kononnya dari KKM memaklumkan namanya digunakan untuk mengambil ubat di hospital lain.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata pada mulanya mangsa berasa sangsi dengan panggilan telefon tersebut namun sindiket menggunakan lagi taktik penyamaran sebagai polis.

“Polis palsu tersebut bertindak meyakinkan mangsa bahawa kononnya mendakwa mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram serta penyeludupan dadah.

“Selepas itu, mangsa dikehendaki memberi maklumat kad bank dan perbankan dalam talian kononnya bertujuan mengenal pasti sama ada mangsa terbabit dengan masalah pengubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, percaya kepada helah tersebut, mangsa kemudiannya membuat 16 transaksi pemindahan wang kepada akaun milik individu tersebut.

Jasmin berkata, mangsa yang menyedari dirinya tertipu kemudiannya tampil membuat laporan polis pada 18 Mac lalu dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Sindiket Macau Scam ini melakukan penipuan menggunakan teknik ‘spoofing’ iaitu penyamaran nombor talian apabila pemanggil menggunakan perkakasan Internet ketika membuat panggilan melalui internet (VOIP),” katanya.

Beliau mengingatkan kepada masyarakat agar lebih berhati-hati dengan pelbagai taktik sindiket Macau Scam.

“Orang ramai juga diingatkan bahawa dalam sistem negara ini sesuatu institusi kerajaan tidak mempunyai hak untuk menyambungkan panggilan kepada institusi kerajaan lain dalam satu panggilan yang sama.

“Masyarakat juga dinasihati untuk memuat naik aplikasi ‘Semak Mule CCID’ untuk membuat semakan terhadap nombor telefon atau nombor akaun bank sebelum membuat sebarang urusan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here