PEMAIN drum Caliph Busker, Fendy Adlun mengaku sedih dan kecewa apabila kekurangan anaknya dikaitkan dengan gangguan jin.
Menurut Fendy, kenyataan seorang wanita bergelar ustazah di Facebook baru-baru ini yang mendakwa kelahiran anak austime adalah disebabkan gangguan jin.
Fendy yang juga mengalami masalah penglihatan berkata, semua pihak sepatutnya menghormati perasaan ibu bapa yang dikurniakan cahaya mata daripada golongan orang kelainan upaya (OKU).
“Mengapa semua perkara hendak dikaitkan dengan jin. Adakah kami yang kurang daya penglihatan ini disebabkan gangguan jin?
“Isu ini sensitif dan rasanya sebagai seorang yang mempunyai ilmu agama, mereka tahu untuk menghormati perasaan ibu bapa seperti saya.
“Saya reda dengan kurniaan Tuhan dan sentiasa ambil sikap positif dengan ketentuan ini. Allah sudah katakan anak-anak seperti ini adalah anak syurga,” katanya dipetik mStar, hari ini.
Terdahulu, Fendy telah memuat naik satu hantaran di laman Instagram miliknya memohon agar tidak menggunakan agama untuk kepentingan sendiri atau bertujuan sebagai satu bahan pemasaran.
Mengulas keadaan anaknya, Nur Azalea Zafirah, 7, dia amat bersyukur kerana dibantu oleh rakan sekeliling dalam membesarkan anaknya itu.
Namun, Fendy melahirkan kebimbangan tidak dapat menguruskan anaknya itu dengan baik terutamanya berkaitan hal wanita.
“Orang-orang sekeliling banyak membantu menjaga anak ketika saya keluar bekerja.
“Cabaran utama saya adalah daripada segi pengurusan kerana anak semakin dewasa. Bagaimana nanti dia sudang datang bulan dan ada keperluan yang saya tidak tahu untuk uruskan.
“Atau apabila keluar bersama dan dia perlu ke tandas awam, semestinya sukar untuk dia pergi sendiri,” katanya yang menjaga anaknya sendiri selepas berpisah dengan bekas isteri, Nadira Rubina yang juga merupakan anggota Caliph Busker, pada 2018.
Sementara itu, Fendy menjelaskan, dia sememangnya memikirkan kebajikan anaknya itu yang kurang kasih sayang seorang ibu.
Menurutnya, dia terbuka untuk menerima pengganti dan memberitahu telah berkenalan rapat dengan seorang wanita.
“Saya kesiankan nasib anak yang membesar hanya bersama saya tanpa seorang ibu. Ada masa dia terpaksa ikut saya keluar bekerja.
“Semestinya saya terbuka untuk mencari pengganti hati dan sekarang ada berkawan rapat dengan seorang wanita,” katanya. – Malaysiapost
Kredit foto: Mstar

