PELBAGAI program akan dilaksanakan bagi sambutan Ihya Ramadan Peringkat Kebangsaan 2022 terutama dalam mengimarah masjid dengan solat jemaah dan terawih.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad, berkata di peringkat agensi agama persekutuan, pihaknya telah program-program pengimarahan Ramadan dilaksanakan.
Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Lembaga Tabung Haji (TH) dan seluruh agensi untuk melaksanakan program itu.
“Program pengimarahan Ramadan berkenaan melibatkan imarah masjid dengan solat jemaah dan terawih, program turun padang, menyediakan juadah berbuka puasa, menyantuni asnaf dan fakir miskin.
“Selain program-program ilmu juga diperhebatkan melalui saluran TV Alhijrah dan Penyiaran Jakim, Radio IKIMfm dan media sosial,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut melancarkan Sambutan Ihya Ramadan Peringkat Kebangsaan Tahun 1443H/2022M di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, hari ini.
“Tahun ini, kita akan menyambut Ramadan sangat berbeza daripada tahun lalu. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, telah mengumumkan perkara berkaitan fasa peralihan ke endemik dengan beberapa perubahan SOP khususnya melibatkan aktiviti di masjid dan surau.
“Alhamdulillah, mulai hari ini solat berjemaah dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal. Pihak berkuasa agama negeri-negeri juga telah membuat ketetapan masing-masing,” katanya.
Beliau berharap, masjid dan surau menjadi jantung hati umat Islam untuk bersama diimarahkan dan merancakkan lagi kempen Bulan Sola yang telah dilancarkan sejak Rejab dulu.
“Sungguh saya amat gembira dengan kesatuan #PasukanMenteriAgama yang telah memberi komitmen penuh menjayakan sambutan Ihya’ Ramadan.
“Insya-Allah, Ramadan tahun ini kita gerakkan sebagai bulan penyucian jiwa. Bulan untuk kita memperkukuhkan pengisian rohani. Bulan mempertautkan silaturahim dan ukhuwah umat,” katanya. – Malaysiapost

