Mampukah kerajaan mansuh tol? – soal Guan Eng

0
1

PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan kemampuan kerajaan untuk menghapuskan tol termasuk di Lebuhraya Utara-Selatan dan Jambatan Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bagan itu juga mengulangi kenyataan bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak sempat melaksanakan perkara itu kerana tidak mendapat mandat lima tahun memerintah.

“Semua yang takda tol memang cantik. Macam Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di Pulau Pinang yang dibina oleh kerajaan negeri sebanyak RM 378.2 juta.

“Alangkah baiknya sekiranya Lebuhraya Utara-Selatan dan Jambatan Pulau Pinang pun takda tol.

“PH tak sempat hapus tol kerana tak cukup masa 5 tahun, sekadar mampu bagi diskaun 18% dan jaminan bahawa kadar tol tak boleh naik lagi,” katanya menerusi Facebook.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa DAP telah mengkhianati rakyat Pulau Pinang berhubung janjinya untuk memansuhkan tol di Jambatan Pulau Pinang jika PH memenangi pilihan raya umum 2018 (PRU14).

Najib berkata, Guan Eng sebaliknya membenarkan tempoh konsesi tol dilanjutkan selama 20 tahun lagi, sehingga 2058.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, apa yang menjadi persoalan ketika ini adalah adakah kerajaan yang memerintah mampu melakukan pendekatan sama semasa pentadbiran PH.

“Persoalannya, mampukah kerajaan sekarang ikut sama dan kurangkan kadar tol atau hapuskan tol sama sekali? Najib boleh balik (Pulau Pinang) jengok lagi, takda masalah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here