JHEAT sedia gempur ‘port’ ponteng puasa

0
1

AWAS kepada golongan yang gemar ponteng puasa, ini kerana Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah mengenal pasti ‘lubuk’ makan dan minum golongan terbabit sepanjang Ramadan, bermula Ahad ini.

Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin, berkata pegawai Penguatkuasa Syariah (PPS) akan menggempur lokasi dipercayai dijadikan ‘port’ golongan ponteng puasa di negeri itu.

Menurutnya, pegawai dan anggota PPS akan melakukan rondaan dan pemantauan di lokasi yang sudah dikenal pasti terutama kedai makan, tempat perkelahan, kawasan perindustrian dan rekreasi.

“Berdasarkan operasi dan pemantauan sepanjang Ramadan tahun lalu, golongan ponteng puasa bukan sahaja makan di restoran, malah di tapak projek pembinaan dan kawasan rekreasi.

“Dalam melaksanakan penguatkuasaan, pegawai dan anggota PPS akan menggunakan pendekatan memberi nasihat jika melakukan kesalahan pertama dan tindakan tegas jika kesalahan kedua,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, M Rozi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) berkata, tindakan tegas juga akan dikenakan ke atas individu yang menjual makanan kepada mereka tidak berpuasa.

“Seramai 171 pegawai dan anggota PPS termasuk 85 anggota sukarela akan melakukan rondaan di semua lokasi yang dikenal pasti,” katanya.

Mengenai hukuman yang dikenakan, M Rozi menjelaskan, mereka yang makan dan minum termasuk merokok secara terbuka di tempat awam boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen A54, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir), (Terengganu) Pindaan 2015.

Tindakan sama juga boleh dikenakan ke atas orang yang menjual makanan, minuman dan rokok kepada orang Islam pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadan.

“Umat Islam yang didapati melakukan kesalahan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara tidak lebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here