SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan merasmikan Terminal Feri Desaru Coast hari ini, yang bakal memacu pertumbuhan sektor pelancongan dan ekonomi Johor Tenggara.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, memaklumkan terminal feri berkenaan yang dilengkapi Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), serta kemudahan maritim merupakan pintu masuk baharu antarabangsa Malaysia ke-16.
“Ia juga akan meningkatkan kesalinghubungan destinasi antarabangsa dari Singapura dan Batam serta Bintan Kepulauan Riau Indonesia.
“Kedatangan pelancong antarabangsa diyakini akan merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat yang kelak memberi manfaat kepada peniaga, usahawan dan juga pemain industri lain serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” menurut kenyataan itu.
Berangkat sama ke majlis itu, Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Ibrahim.
Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sempadan negara akan mula dibuka Jumaat ini.
Pembukaan sempadan Johor-Singapura itu menjadi lembaran baharu buat Malaysia dan Singapura selepas penutupan lebih 20 bulan.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata ia juga dijangka mampu menyumbang terhadap usaha pemulihan ekonomi Johor. – Malaysiapost

