KD Teguh Samudera patahkan cubaan 4 bot asing ceroboh perairan negara

0
1

KAPAL Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) iaitu KD Teguh Samudera mematahkan cubaan empat bot nelayan asing yang dipercayai cuba menceroboh perairan negara bagi tujuan mengaut hasil laut secara tidak sah sekitar perairan Pulau Perak semalam.

Markas Pemerintahan Armada Barat menerusi kenyataan berkata penyaluran maklumat pantas menerusi Maritime Component Commander (MCC) Barat telah mengaturgerak aset terhampir iaitu KD Teguh Samudera ke lokasi pengesanan awal bot nelayan asing tersebut di sekitar perairan selatan Pulau Perak, jam 5.30 petang.

Menurutnya, setiba di lokasi, KD Teguh Samudera mempamer kecekapan menerusi tindakan pengusiran ke atas sebuah bot di lapangan dan kekal membayanginya sehingga keluar meninggalkan sempadan perairan negara.

“Baki tiga bot lagi dipercayai telah meninggalkan perairan negara setelah menyedari kehadiran dan keberadaan aset pertahanan maritim negara,” kata kenyataan itu semalam.

Terdahulu, TLDM berkata Pesawat B200T (RMF 354) milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengesan keberadaan empat bot teesebut di posisi kira-kira 49 batu nautika selatan Pulau Perak lalu disalurkan kepada komponen maritim.

“Kerjasama dan tindakan bersepadu serta penyaluran maklumat pantas oleh kesemua agensi terlibat akan memastikan setiap tindakan menceroboh sentiasa
dipatahkan baik di laut mahupun di darat.

“ATM tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

“TLDM bersama agensi penguatkuasa maritim yang lain sentiasa komited dan siap siaga melindungi perairan negara pada sebilang masa,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here