Malaysia dan Qatar rakan penting di Rantau Asia Barat – PM

0
1

Malaysia dan Qatar merupakan rakan penting di rantau Asia Barat dan hubungan dua negara itu berada pada tahap yang sangat baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kedua-dua negara bekerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pelancongan, kesihatan, Covid-19, pendidikan dan pertahanan.

“Kunjungan saya ke Qatar pastinya amat penting dalam memperkukuhkan lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin erat antara Malaysia dan Qatar.

“Saya amat kagum dengan pembangunan pesat Qatar, bukti kejayaan kerajaan Qatar dalam melaksanakan agenda pembangunan negara,” katanya dalam ucapan ketika lawatan rasmi pertamanya ke Qatar sejak kelmarin.

Dalam lawatan itu, Perdana Menteri turut mengadakan sesi libat urus dengan komuniti perniagaan dan Keluarga Malaysia di Doha.

Delegasi Malaysia dianggotai Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup; serta Pengerusi FELDA, Datuk Seri Idris Jusoh.

Selepas Qatar, Ismail Sabri dijadual mengadakan lawatan rasmi Emiriah Arab Bersatu (UAE) selama tiga hari mulai hari ini.

Sementara itu, Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani berkata, Malaysia dan Qatar memiliki banyak persamaan dan pendirian yang boleh diperkasakan bagi mencapai matlamat serta kepentingan kedua-dua negara.

Beliau berkata demikian menerusi ciapan di Twitter.

“Hari ini, saya berbincang dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai peluang untuk memperkasakan hubungan kerjasama dua hala antara dua negara tercinta.

“Kami juga membincangkan beberapa perkembangan di rantau kami serta dunia umumnya.

“Terdapat banyak persamaan juga pendirian antara Qatar dan Malaysia yang kami ingin terus perkukuhkan demi mencapai matlamat dan kepentingan kedua-dua negara di tahap yang tertinggi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here