Penalti Salah melambung tinggi selepas terkena pancaran laser

0
1

MOHAMED Salah meledak penalti yang melambung di atas palang ketika berdepan pancaran laser sebelum Mesir disingkirkan Senegal dalam aksi play-off Piala Dunia Zon Afrika awal pagi tadi.

Ia juga kali kedua Senegal yang dibarisi Sadio Mane – rakan sepasukan Salah di Liverpool mengecewakan Mesir, selepas melakukannya juga melalui penentuan penalti pada final Piala Negara-Negara Afrika, Februari lalu.

The Mirror melaporkan, Selain Salah, turut menjadi sasaran laser oleh penyokong tuan rumah ialah penjaga gol Mesir, Mohammed El Shenawy apabila dia berdepan sepakan percuma atau setiap sepakan dalam penentuan penalti.

Terdahulu gol sendiri Hamdi Fathi selepas hanya empat minit meletakkan Senegal di hadapan dan menyamakan kedudukan secara agregat selepas Mesir mendahului satu gol.

Kedudukan itu kekal sehingga selepas masa tambahan, dengan kedua-dua pasukan kemudian dipaksa untuk satu lagi penentuan penalti hanya beberapa bulan selepas mengalami senario sama dalam perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika.

Sekali lagi Senegal muncul sebagai pemenang, bermula dengan empat sepakan penalti yang terlepas berturut-turut.

Dua bulan lalu, Mane adalah wira Senegal di Cameroon dengan melakukan sepakan penalti terakhir yang memberikan negaranya kejuaraan pertama di benua itu.

Awal pagi tadi, sekali lagi dia menjaringkan penalti kemenangan dan memastikan senegaranya menempah tiket ke Qatar pada musim sejuk ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here