Jasa doktor amat besar buat rakyat Malaysia harungi Covid-19 – Zahid

0
1

SAMBUTAN Hari Doktor Sedunia pada 30 Mac merupakan hari untuk rakyat Malaysia mengingati dan meraikan jasa yang amat besar para doktor terutama dalam mengharungi perang Covid-19.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata para doktor di Malaysia mempertaruhkan keselamatan diri demi nyawa dan kesihatan insan lain ketika berdepan ancaman Covid-19.

“Semasa dunia dan Malaysia berdepan dengan ancaman pandemik yang amat merbahaya Covid-19, para doktor telah bersedia di barisan hadapan.

“Sewaktu masyarakat dunia dan Malaysia bimbang didekati oleh individu positif Covid-19, para doktor sentiasa disisi untuk membantu mereka,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata, sesungguhnya pekerjaan sebagai doktor adalah pekerjaan yang mulia dan tidak ramai mampu melakukannya.

“Kerana itu sambutan Hari Doktor Sedunia pada 30 Mac ini merupakan hari untuk kita mengingati dan meraikan jasa para doktor yang amat besar.

“Meraikan sumbangan dan pengorbanan mereka sehingga membolehkan Malaysia beralih kepada fasa endemik bermula 1 April 2022.

“Begitu juga menghargai peranan dan tugasan mereka dalam merawat dan memastikan sistem kesihatan negara berfungsi sebaik mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada seluruh doktor Malaysia di atas jasa dan pengorbanan yang dicurahkan.

Hari Doktor Sedunia disambut pada 30 Mac setiap tahun. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here