Malaysia lepasi sasaran dagangan, pelaburan RM70 bilion Ekspo 2020 Dubai

0
1

MALAYSIA telah melebihi sasaran potensi nilai perdagangan, pelaburan dan ‘business leads’ berjumlah RM70 bilion secara keseluruhan bagi 26 program mingguan negara di Ekspo 2020 Dubai.

Perdana Menteri berkata, nilai itu telah diperolehi melalui 131 Memorandum Persefahaman atau Perjanjian Perkongsian, dan pertanyaan perniagaan melibatkan sejumlah 4,558 mesyuarat, termasuk potensi padanan perniagaan.

“Sukacita juga saya umumkan satu lagi pencapaian membanggakan Pavilion Malaysia sejak bermulanya penganjuran Ekspo 2020 Dubai sehingga semalam bersamaan 29 Mac 2021, Pavilion Malaysia telah menerima 1.1 juta pengunjung.

“Saya juga ingin mengetengahkan di sini peluang yang telah diberikan kepada lebih 400 Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS) di peringkat antarabangsa.

“Ini adalah peluang bagi mereka mengembangkan perniagaan dan meneroka peluang-peluang baharu di luar negara,” katanya dalam Ucaptama pada Majlis Apresiasi Ekspo 2020 Dubai, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan menanggung kos yuran penyertaan semua PMKS di Ekspo 2020 Dubai dan peserta hanya perlu membayar kos penginapan dan tiket kapal terbang sahaja.

“Ini membuktikan komitmen kerajaan untuk membantu, menyokong dan memperkasa PMKS.

“Saya mahu lebih banyak PMKS dapat melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa yang mana boleh membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, seterusnya meningkatkan taraf hidup Keluarga Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beliau turut menyaksikan majlis pemeteraian lima MoU; dua Memorandum Eksplorasi Perniagaan (MOBE) dan satu Surat Niat (LOI) antara syarikat Malaysia dan rakan perniagaan asing.

Selain itu, beliau berkata, penyertaan Malaysia ke Ekspo 2020 Dubai juga menyaksikan ketetapan Aerodyne Group untuk menjadikan Pavilion Malaysia sebagai ibu pejabat kedua global dengan semua kos operasi akan diuruskan oleh Aerodyne Group.

“Saya amat berbangga kerana Malaysia mengadakan libat urus dengan begitu ramai rakan kongsi yang bersedia untuk menyertai Malaysia dalam mewujudkan dunia yang lebih baik.

“Saya yakin hubungan yang dibangunkan di sini akan membawa kepada pelbagai potensi baharu dalam pemulihan global yang berterusan dan pertumbuhan yang mampan,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia juga bersedia untuk menyertai Ekspo Dunia yang akan diadakan di Osaka pada 2025.

“Ia membuktikan prinsip Malaysia yang berpegang kepada dasar neutral dan mengekalkan hubungan aman dengan semua negara dalam meningkatkan lagi hubungan dengan negara lain di rantau ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here