Aliran trafik dijangka meningkat mendadak 1 April – Ka Siong

0
1

PENGECUALIAN bayaran Caj Jalan (RC) dan bayaran tol di Tambak Johor dan Tanjung Kupang (Lebuh Raya Linkedua) yang menjadi laluan Malaysia-Singapura diyakini akan menggalakkan lebih ramai rakyat Singapura mengunjungi Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata dalam masa sama ia akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura yang tidak dapat balik ke Malaysia disebabkan pandemik Covid-19.

“Kemasukan pengembara yang ramai dari Singapura turut memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi khususnya di negeri Johor di mana perniagaan di Johor akan lebih rancak dan ekonomi lebih ‘vibrant’.

“Kerajaan Johor menjangkakan jumlah trafik akan meningkat secara mendadak mulai 1 April,” katanya menerusi Facebook.

Ka Siong berkata, pihaknya percaya kesan limpahan ekonomi akan dapat dirasai penduduk-penduduk di sekitar Tambak Johor dan Linkedua terbabit.

“Menteri Besar Johor juga telah mengumumkan bahawa seramai 2,700 orang pegawai akan bertugas 24 jam 7 hari seminggu di kedua-dua pintu masuk negara, CIQ,” katanya.

Sementara itu, Ka Siong berkata, beliau menasihatkan 125,790 pemilik kenderaan Singapura yang telah mendaftar dengan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) portal tetapi masih belum mendapatkan atau memasang VEP Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) tag segera berbuat demikian.

“Manfaatkan tempoh pengecualian selama seminggu ini (1-7 April) demi memastikan perjalanan yang lebih lancar apabila memasuki Malaysia selepas 7 April kelak apabila tempoh pengecualian RC berakhir.

“Untuk rekod, setakat ini jumlah RFID VEP tag yang telah dipasang adalah sebanyak 65,473 unit kenderaan,” katanya.

Terdahulu, Ka Siong bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, serta barisan EXCO Johor melawat Kompleks Sultan Abu Bakar Linkedua untuk meninjau persiapan sempena pembukaan sempadan Malaysia-Singapura laluan darat pada 1 April 2022.

Hari ini, kerajaan mengumumkan memberi pengecualian bayaran tol di Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Lebuh Raya Linkedua) yang menjadi laluan Malaysia-Singapura sempena pembukaan semula sempadan, mulai 1 April ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengecualian bayaran tol di plaza tol Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan di kedua-dua pintu masuk sempadan negara itu diberikan kepada semua jenis kenderaan selama tujuh hari sehingga 7 April depan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here