PKR menafikan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail positif Covid-19, seperti dilaporkan media tertentu semalam.
Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, sebaliknya bekas Timbalan Perdana Menteri itu uzur dan tidak dapat hadir satu majlis parti tersebut semalam.
“Semalam ada media memetik sumber petugas parti sebagai berkata bahawa YB DS Dr Wan Azizah Wan Ismail positif Covid-19. Maklumat itu tidak benar.
“Kak Wan uzur semalam dan terpaksa berehat, maka tidak dapat merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Keadilan Lembah Pantai.
Oleh itu, Setiausaha Agung Keadilan, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah menggantikan beliau di saat akhir,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, hari ini Wan Azizah telah menjalani ujian saringan kendiri Covid-19 dan keputusan yang diperoleh adalah negatif.
“Saya doakan agar Kak Wan dan kita semua sentiasa dilindungi dari wabak ini,” katanya. – Malaysiapost

