PENGARAH Operasi Pilihan Raya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin menegaskan beliau tiada kena mengena dengan blog yang dikaitkan dengan namanya seperti dalam hantaran Facebook bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, semalam.
Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard, berkata Najib perlu menyatakan fitnah yang dikatakannya adalah sumber daripada tulisan beliau.
“Najib Razak konon ugut nak saman dan kaitkan cheGuBard dengan satu blog yang cheGuBard tak ada kena mengena. Blog yang Najib maksudkan http://asamboi.net/ memetik fB cheGuBard https://fb.watch/c0E_8UgkbI/
“Maka sila rujuk dan nyatakan dekat mana fitnah tersebut dari sumber cheGuBard sendiri bukan memetik mana-mana blog atau sumber lain,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau meminta agar Najib tidak memutar belit dan lari daripada isu penyelewangan yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Pekan itu dengan rakan-rakan ‘kluster mahkamah’.
“Buat Najib, tak perlu memutar belit isu dan lari dari isu sebenar berkenaan korupsi dan penyelewengan yang kamu, keluarga dan kawan kluster mahkamah kamu terkait dengan mengalih kepada isu isu kenyataan politik semata mata,” katanya.
Beliau berkata, sepatutnya Najib mengambil serius berkenaan hantarannya berkenaan Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menerima barang kemas dan beg tangan bernilai lebih RM130 juta.
Terdahulu, Najib memberi tempoh 24 jam Badrul Hisham untuk nafikan satu penulisan artikel blog bertarikh semalam.
Ia susulan Badrul Hisham mendakwa bekas Perdana Menteri itu pernah berkata ‘nak basahkan keris dengan darah Cina’ berdasarkan satu keratan akhbar yang tidak diketahui kebenarannya. – Malaysiapost

