Johor turut benarkan rapat saf solat jemaah

0
1

MEMASUKI fasa peralihan endemik bermula 1 April ini, lebih banyak pihak berkuasa agama negeri membenarkan saf dirapatkan bagi solat berjemaah di masjid dan surau.

Selain Wilayah Persekutuan, Selangor, Kedah dan Kelantan, negeri Johor juga mula membenarkan pelaksanaan solat berjemaah dengan cara merapatkan sejadah tanpa bersentuhan antara jemaah bermula Jumaat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Khalid berkata, perkara itu antara yang diperkenankan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

Katanya, jemaah hendaklah membawa sejadah sendiri berukuran sekurang-kurangnya satu meter panjang dan 0.6 meter lebar serta lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

“Program membudayakan al-Quran, kuliah umum, kuliah khas, kuliah Dhuha, kuliah Zohor dan kuliah Jumaat, kelas takmir, kelas al-Quran, taklimat, kursus, forum, majlis zikir, majlis selawat, wirid dan tarekat juga adalah dibenarkan.

“Aktiviti yang membabitkan bermalam adalah ditangguhkan sehingga suatu arahan lain yang akan dimaklumkan,” katanya dalam sidang media di Iskandar Puteri, hari ini.

Mohd Fared berkata, bagi solat tarawih hendaklah dilaksanakan sebanyak 20 rakaat dan solat sunat witir hendaklah dilaksanakan sebanyak tiga rakaat sahaja.

“Bagi memelihara kesucian agama Islam, maka umat Islam tidak dibenarkan menganjur atau menghadiri majlis berbuka puasa di rumah ibadat agama bukan Islam.

“Edaran bubur lambuk, jamuan majlis berbuka puasa, sahur dan moreh adalah dibenarkan untuk dilaksanakan secara berbungkus sahaja,” katanya.

Beliau berkata, program Tadarus al-Quran boleh dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi dua jam selepas selesai solat witir atau waktu yang telah diprogramkan oleh masjid dan surau, manakala tazkirah tidak dibenarkan.

Sementara itu, beliau memaklumkan zakat fitrah bagi negeri Johor tahun ini adalah sebanyak RM7 seorang bagi pengguna beras tempatan; dan RM10 bagi pengguna beras wangi, beras basmathi dan lain. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here