KEMENTERIAN Sumber Manusia menjumpai perkataan sesuai menggantikan perkataan Bahasa Inggeris, ‘Job Karnival’, hari ini.
‘Pesta Kerja’ adalah perkataan sesuai untuk menggantikan perkataan berkenaan dan menariknya, ia dijumpai di Dewan Negara ketika Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim menjawab soalan tambahan Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian.
“Perancangan terus berjalan dengan kempen turun ke padang, dengan izin, bahasa yang sering digunakan iaitu Job Karnival,” jawab Awang Hashim
Bagaimanapun Speaker Dewan Negara Tan Sri Dr. Rais Yatim kemudiannya mencelah, “Job Karnival… Pesta Kerja,”.
Awang Hashim spontan memberi reaksi dan mengaku pihaknya telah lama mencari perkataan lain yang maknanya tetap sama dengan ‘job karnival’.
“Ya, Pesta Kerja… saya dengan pegawai-pagawai saya lama dah fikir bahasa sesuai dengan Job Karninal ni, nak letak ayat apa yang sama makna dengan Job Karnival ni. Rupanya, kita dapat dah hari ni (jawapan betul dalam Bahasa Malaysia).
“Ingat pegawai, Pesta Kerja bagi ganti nama Job Karnival,” katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, hari ini
Bimbang ditegur sekali lagi oleh speaker, Awang kelihatan berhati-hati membaca teks jawapan seterusnya, namun kejadian mencuit hati berlaku juga apabila beliau secara spontan menukar ayat ‘holistik’ kepada keseluruhan.
Beliau bimbang ditegur kali kedua oleh Speaker yang menitikberatkan penggunaan Bahasa Malaysia dalam setiap tutur jawapan sama ada daripada menteri, timbalan menteri mahupun Ahli Dewan Negara.
Meskipun insiden itu mengundang ketawa Ahli Dewan Negara, namun teguran Dr. Rais itu sebenarnya memberi tempias kepada mereka agar tidak sewenang-wenangnya menggunakan bahasa Inggeris dalam sesi persidangan. – Malaysiapost

