PAS berdukacita berhubung kegagalan Ahli Parlimen pro kerajaan mengambil bahagian ketika sesi pengundian usul melanjutkan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), Rabu lalu.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, adalah menjadi tanggungjawab Ahli Parlimen untuk mengambil bahagian dalam mana-mana proses membuat undang-undang di Dewan Rakyat.
Justeru, beliau menegaskan, setiap Ahli Parlimen sepatutnya tidak boleh mempunyai sebarang alasan untuk tidak hadir ke Dewan Rakyat serta mengambil bahagian dalam sesi pengundian tersebut.
“Dalam PAS, saya menitikberatkan perkara ini terutama dari segi kehadiran kerana Ahli Parlimen diberi peluang seluas-luasnya untuk terlibat dalam proses membuat dan meluluskan undang-undang di Parlimen.
“Kita berdukacita jika satu rang undang-undang kerajaan tidak diluluskan hanya kerana ketidakhadiran Ahli Parlimen penyokong kerajaan sendiri,” katanya dipetik Utusan Online, hari ini
Takiyuddin menambah, sebarang bentuk tindakan tatatertib seperti memberi amaran dan teguran ke atas ahli Parlimen terbabit boleh diambil mengikut kesesuaian parti masing-masing.
“Ketua whip setiap parti mempunyai kuasa untuk berbuat demikian sama ada memberikan amaran atau sebaliknya,” katanya. – Malaysiapost

