PM lawat Qatar tiga hari

0
1

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selamat tiba di Qatar hari ini untuk lawatan rasmi tiga hari ke negara berkenaan.

Ketibaan Perdana Menteri di Terminal Diraja Lapangan Terbang Antarabangsa Doha disambut Menteri Pengiring iaitu Menteri Perbandaran Qatar, Dr Abdullah bin Abdulaziz bin Turki Al-Subaie.

Turut serta menyambut ketibaan Perdana Menteri pada pukul 3 petang waktu tempatan itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Duta Besar Malaysia ke Qatar, Zamshari Shaharan.

Perdana Menteri kemudian memeriksa barisan kawalan kehormat dibarisi Pengawal Istiadat Amiri serta menaiki kenderaan khas.

Ini adalah lawatan rasmi pertama Ismail Sabri ke Qatar selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-9 Malaysia pada 21 Ogos tahun lalu.

Perdana Menteri dijadual melawat Ladang Baladna, esok, iaitu antara ladang ternakan lembu terbesar di rantau itu yang terletak kira-kira 60 kilometer di utara Doha untuk menyaksikan pertukaran Surat Hasrat (LOI) antara PR1MA dan Lembaga Pelaburan Qatar.

Beliau juga dijadual menghadiri sesi libat urus dengan komuniti perniagaan serta Keluarga Malaysia di Doha.

Pada Selasa pula, Perdana Menteri akan melakukan kunjungan hormat ke atas Emir Qatar Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani, sebelum menghadiri majlis makan tengah hari di Amiri Diwan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here