DUA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang mengumum keluar parti Januari lalu, secara rasmi menyertai Parti Warisan (Warisan), hari ini.
ADUN Sri Tanjung Justin Wong dan ADUN Elopura, Calvin Chong kedua-duanya sebelum ini wakil rakyat dari DAP menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Kota Kinabalu, pagi tadi.
“Mereka memberitahu saya hasrat mereka untuk meneruskan perjuangan untuk rakyat Sabah,” kata Shafie pada sidang medianya, hari ini.
Wong berkata, beliaumahu menyertai parti berasaskan Sabah berdasarkan maklum balas daripada pengundinya. Malah, beliau juga mempertahankan keputusannya meninggalkan DAP.
“Saya meninggalkan DAP bukan kerana kepentingan peribadi tetapi kerana parti itu hilang hala tuju dan perbalahan dalaman menyebabkan saya keluar,” katanya.
Sementara itu, Chong turut menyatakan alasan yang sama untuk meninggalkan DAP.
Chong berkata, beliau tetap teguh dengan pembangkang dan itulah sebabnya menyertai Warisan, sebuah lagi parti pembangkang dan bukannya berpaling tadah kepada gabungan kerajaan.
Tindakan dua ADUN itu menjadikan Warisan kini mempunyai 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dan DAP empat kerusi DUN.
Secara keseluruhan pembangkang kini mempunyai 26 kerusi daripada 79 kerusi DUN Sabah. – Malaysiapost

