Undi SOSMA: Kenapa tak salahkan Hadi, Azmin? – soal Zahid

0
1

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membidas tindakan Pakatan Harapan (PH) yang berterusan menunding jari kepada Umno berhubung kegagalan usul Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) diluluskan Dewan Rakyat, Rabu lalu.

Presiden Umno itu, berkata sedangkan ramai lagi yang tidak hadir ketika undian usul itu dijalankan termasuk Presiden PAS, Tan Sri Hadi Awang dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kenapa tak salahkan Presiden PAS, Presiden Bersatu, termasuk Datuk Seri Azmin Ali, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“(Mereka juga) tidak hadir ketika proses undi bagi pindaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan(Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA),” soalnya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata, beliau mendapat maklum balas PH menyalahkan Ahli Parlimen bukan daripada parti itu kerana tidak berada dalam Dewan Rakyat ketika undi berlangsung.

“(Ahli Parlimen Lembah Pantai) Fahmi Fadzil siap masuk dalam FB memberitahu hal ini. Sungguh pelik. Semua diletak salah di bahu Umno,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya tidak menyangka PH akan bertindak sedemikian kerana terlalu percaya MoU yang sudah diikat kemas, serta menyangka tiada apa yang perlu dirisaukan.

“Namun umpama harapkan pagar, maka makan padi. Harapkan sokongan PH, sokong membawa rebah. Utulah berlaku di Dewan Rakyat tempoh hari.

“Semoga kita semua belajar daripada episod ini,” katanya.

Pada 24 Mac lalu, media melaporkan pindaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) ditolak di Dewan Rakyat.

Menurut Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan, 50 ahli Dewan tidak hadir hingga menyebabkan kerajaan kekurangan dua undi pada sesi belah bagian untuk meluluskan usul tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here