KUNJUNGAN dua hari Datuk Seri Najib Razak ke Pulau Pinang dilaporkan telah menimbul rasa kurang senang ahli DAP dan PKR di negeri itu.
Menerusi hantaran di Facebook, bekas Perdana Menteri itu meminta pihak berkenaan supaya bersabar kerana kunjungan beliau ke Pulau Pinang hanya untuk makan angin semata-mata.
“Bukan DAP sahaja yang panas hati dengan lawatan saya ke Pulau Pinang. PKR turut sama.
“Saya cuma dua hari di Pulau Pinang untuk makan angin sambil makan lontong sahaja,” katanya menerusi Facebook.
Mengulas mengenai DAP menghantar orangnya ketika beliau sampai di Bukit Mertajam semalam, Najib berkata, langkah itu kurang bijak dan boleh mencetuskan kekecohan.
“Lalu, DAP pula hantar empat individu untuk angkat ‘banner’ dan protes kunjungan saya ke sebuah food court di Bukit Mertajam.
“Bagi saya, ini adalah satu tindakan yang kurang bijak dan berisiko sebab ribuan penduduk tempatan serta penyokong saya tengah sambut lawatan saya.
“Buat apa nak buat provokasi pada keadaan begitu? Satu manfaat bagi sesiapa pun takde,” katanya.
Ahli Parlimen Pekan itu menyindir DAP dan PKR Pulau Pinang kerana mendakwa kunjungan beliau tidak mendapat sambutan rakyat, semalam.
“Pagi ini, individu yang kononnya Pengarah Komunikasi Keadilan Pulau Pinang telah keluarkan kenyataan media (siap letak gambar pasport saiz besar muka hensem dia) untuk mendakwa bahawa lawatan saya sebenarnya tidak mendapat apa-apa sambutan.
“Lalu tuduh saya Drama King. Suka hati lah kamu. Tapi saya tengok posting dia dapat 7 likes sahaja. Sebab itu, saya bantu promote sedikit secara FOC.
“Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang iaitu tauke-tauke yang pro-DAP pula keluarkan kenyataan untuk nafi kaum Cina alu-alukan lawatan saya.
“Entah lah. Yang saya dengan mata sendiri dan seluruh Malaysia tonton dalam video-video tersebar ialah ribuan kawan-kawan berbangsa Cina yang hadir bersama saya untuk makan di Food Court.
“Itu video edit kurang HD ke? Rileks lah DAP. Sabar!,” katanya. – Malaysiapost

