Selangor sedia hampir 12,000 petak Bazar Ramadan

0
1

KERAJAAN Selangor melalui semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memutuskan untuk menawarkan 11,967 petak Bazar Ramadan di 238 lokasi tahun ini.

Penyediaan jumlah petak itu dibuat setelah mempertimbangkan keseriusan penularan virus Covid-19 varian Omicron yang merebak dalam negara sejak awal tahun ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han berkata setakat ini, PBT Selangor telah menerima sejumlah 10,783 permohonan, di mana 9,720 daripadanya telah diluluskan.

“Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mencatatkan bilangan permohonan paling tinggi iaitu 2,219 permohonan, diikuti Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) (1,790 permohonan) dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) (1,031 permohonan).

“Lima PBT telah selesai memproses semua permohonan iaitu Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), MPKj dan MPKL,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sze Han berkata, terdapat tiga PBT yang menerima permohonan melebihi tawaran tapak seperti di MPKj apabila 1,790 permohonan diterima berbanding 1,780 tapak ditawarkan.

Situasi sama katanya, dicatatkan di Selayang, di mana 2,219 permohonan diterima berbanding 1,782 tapak ditawarkan manakala di Sepang, sebanyak 622 permohonan diterima MPSp berbanding 541 petak yang dapat disediakan.

“Kerajaan negeri menyarankan agar peniaga yang tidak berjaya memperoleh petak di kawasan-kawasan yang dipohon untuk segera memohon di kawasan-kawasan PBT lain yang masih menawarkan sejumlah besar petak berniaga.

“Ini seperti di Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Kuala Selangor dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri sangat menggalakkan aktiviti perniagaan di Bazar Ramadan untuk berjalan, seiring hasrat kerajaan untuk menjana dan memulihkan ekonomi pasca pandemik Covid-19.

Bagaimanapun beliau mengingatkan peniaga dan pengunjung agar sentiasa mematuhi garis panduan kesihatan ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membendung penularan wabak Covid-19.

“Untuk masa ini, garis panduan atau SOP kesihatan seperti tahun 2021 adalah terpakai bagi pelaksanaan Bazar Ramadan tahun 2022,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here