PEMBANGKANG mempersoalkan tindakan beberapa Ahli Parlimen kerajaan yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) bertanggungjawab menggagalkan usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) semalam.
Ahli Parlimen Lembah Pantai dari PKR, Fahmi Fadzil sebaliknya menegaskan daripada menyalahkan PH, lebih baik mereka menjelaskan kenapa tidak hadir di Dewan Rakyat semalam untuk menyokong usul tersebut.
Menurutnya, berdasarkan saksi Ahli-Ahli Parlimen yang hadir semalam semasa undian usul SOSMA, antara mereka yang tidak hadir untuk mengundi termasuklah Bagan Datuk (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), Pekan (Datuk Seri Najib Razak), Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Pontian (Datuk Seri Ahmad Maslan).
“Mereka dalam kalangan 31 Ahli Parlimen kerajaan yang tidak hadir untuk mengundi semalam.
“Dari mereka jaja cerita kononnya PH gagalkan MOU, lebih baik mereka jelaskan kenapa tak hadir untuk sokong usul kerajaan sendiri.
“Kalau 2-3 dari mereka ini hadir pada masa mengundi, usul kerajaan pasti lulus. Kenapa tak hadir?,” soalnya.
Terdahulu beberapa pemimpin Umno menyatakan PH telah melanggar memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan apabila menolak usul tersebut semalam.
Bagaimanapun pembangkang menegaskan isu SOSMA tidak termasuk dalam MoU. – Malaysiapost

