22,491 kes Covid-19 baharu

0
1
Petugas melakukan ujian saringan Covid-19 kepada Amy Goh, 21 di Dewan Seri Siantan Sungai Tua hari ini.

JUMLAH kes baharu harian Covid-19 di Malaysia yang dilaporkan semalam adalah sebanyak 22,491 kes menjadikan keseluruhan 4,054,926 kes kumulatif direkodkan sejak wabak berkenaan melanda negara.

Kes kematian harian akibat wabak berkenaan pula adalah sebanyak 65 kematian termasuk 15 kes yang diklasifikasikan sebagai kematian luar hospital (BID).

Jumlah itu menjadikan keseluruhan kematian akibat Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 34,600 kematian termasuk 7,284 kes BID.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kes harian yang dilaporkan semalam, kes import adalah 382 kes membabitkan 364 warganegara dan 18 bukan warganegara.

Menurutnya, kes tempatan pula adalah 22,109 kes membabitkan 21,243 warganegara dan 866 bukan warganegara.

“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 332 kes membabitkan 141 kes disahkan Covid-19, sebanyak 191 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan).

“Kes memerlukan bantuan pernafasan adalah 189 kes membabitkan 84 kes disahkan Covid-19; 105 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, daripada 22,491 kes harian yang dilaporkan, Kategori 1 mencatatkan 10,601 kes, Kategori 2, 11,725 kes, Kategori 3, 71 kes, Kategori 4 sebanyak 44 kes dan Kategori 5 adalah 50 kes..

“Daripada 165 kes Covid-19 Kategori 3, 4, dan 5 yang baharu 43 kes tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 71 kes telah menerima dua dos vaksin tetapi belum menerima dos penggalak dan 51 kes telah menerima dos penggalak.

“Sebanyak 99 kes adalah yang berumur 60 tahun dan ke atas dan 98 kes lagi mempunyai komorbid, manakala dua kes membabitkan ibu mengandung,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kes sembuh yang dilaporkan semalam adalah sebanyak 26,234 kes menjadikan 3,771,463 kes kumulatif.

“Jumlah kluster Covid-19 setakat ini adalah 6,918 kluster dan tiada kluster baharu dilaporkan semalam dengan jumlah kluster yang telah tamat adalah 6,645 kluster dan kluster masih aktif adalah 273 kluster,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here