VETERAN Umno Tan Sri Shahrir Samad, menemplak Menteri-Menteri Kabinet yang disifatkannya sebagai tiada kualiti dan hanya ‘tangkap muat’ hingga menyebabkan usul kerajaan ditolak di Dewan Rakyat semalam.
Menurutnya, jika kesemua ‘frontbench’ kerajaan hadir menyokong usul pelanjutan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, pastinya tiada masalah.
Beliau berkata kegagalan usul berkenaan juga berpunca daripada kerajaan yang bergantung dengan memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang.
“Dari jumah Ahli Parlimen yang sama. Datuk Nur Jazlan Mohamed, Timbalan Menteri KDN (bekas), tanpa MoU dengan mana-mana pihak, berjaya mendapatkan kelulusan Dewan Rakyat tentang perkara yang sama.
“Itu bezanya diantara ‘kerajaan MoU’ yang menteri-menterinya tidak ada ‘quality’ (tangkap muat’ dan ‘backbenchers’ yang tidak berdisiplin dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.
“Kalau ‘frontbench’ semua hadir untuk sokong Hamzah, tidak jadi masalah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurutnya, apa yang berlaku ‘kerajaan MoU’ bergantung kepada pembangkang yang sudah berjanji untuk hanya ‘menyokong atau berkecuali semua usul-usul kerajaan’.
“Manifesto PH juga janji mereka kepada rakyat. Itu pun mereka boleh tipu! Ini pula berjanji dalam MoU! Walaupun sudah terima peruntukan RM3.5 juta! Masih sanggup PH tipu!
“Kerajaan MoU tentunya tidak akan stabil. Serah balik mandat kepada rakyat demi kestabilan politik negara!” tegasnya. – Malaysiapost

