Zul Ariffin beri kerjasama penuh kepada SKMM

0
1

PELAKON kontroversi Zul Ariffin, mengesahkan hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi membantu siasatan berhubung penerbitan drama berjudul ‘Perempuan Itu’.

Zul, 35, memaklumkan perkara itu melalui Instagram Stories semalam, namun tidak mengulas panjang berhubung perkara tersebut.

“Hari ini saya sudah memberikan kerjasama penuh kepada pihak SKMM berhubung siasatan berkaitan penerbitan drama berjudul ‘Perempuan Itu’,” katanya.

Pelakon Lelaki Terbaik bagi Anugerah Festival Filem Malaysia ke-31 menerusi filem ‘Sangkar’ itu, menimbulkan kontroversi apabila memuat naik adegan ‘panas’ lakonannya dalam drama Perempuan Itu di Instagram.

Adegan lakonannya bersama pelakon baharu, Siti Hariesa yang memaparkan dia mendukung pelakon baru itu selain babak menyuap makanan secara menghairahkan mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk menerima teguran daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Susulan itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan semalam memaklumkan Zul akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 berhubung klip video adegan panas lakonannya itu.

Zul sebelum ini turut tampil memohon maaf secara terbuka berhubung isu klip video berkenaan yang mendapat kritikan hebat setelah tular di media sosial, baru-baru ini.

Pelakon itu berjanji akan lebih berhati-hati dalam memuat naik sebarang bahan bagi tujuan promosi di media sosial kelak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here