PRU15: ‘Cukup-cukuplah laga-lagakan Umno’ – Razlan

0
1
Datuk Razlan Rafii

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii meminta pemimpin Bersatu supaya berhenti daripada terus melaga-lagakan parti itu.

Mohd Razlan juga menempelak Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang didakwa cuba bercakap soal rakyat sedangkan beliau dan partinya hanya memikirkan soal politik untuk melemahkan Umno.

“Hari ini kononnya, sekira membubarkan Parlimen adalah menjatuhkan Perdana Menteri, kalau begitu semua Perdana Menteri sebelum ini yang membubarkan Parlimen menjatuhkan diri sendiri?

“Sudah masuk empat tahun penggal ini berlangsung, tiada yang pelik kalau mahu membubarkan Parlimen,” katanya dalam kenyatan, hari ini.

Jelas Mohd Razlan, Umno juga sudah bersetuju untuk lima pemimpin utama parti itu berbincang tarikh sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU).

“(Jadi) cukup-cukuplah melaga-lagakan Umno dari dalam. Apa sahaja keputusan yang kami akan buat, ia tidak lari dari meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika Bersatu menjadi pembangkang parti itu berpolitik setiap hari sehingga Pakatan Harapan jatuh terjunam.

“Kehendak mereka adalah untuk menjadi Menteri. Apabila sudah menjadi menteri dan kerajaan, mereka terus berpusat di Publika memikirkan bagaimana hendak melemahkan Umno.

“Termasuk menyingkir Pemimpin Umno melalui kuasa yang diberi, tugasan sebagai menteri untuk menjaga rakyat di Putrajaya jarang dikunjungi, mereka menjatuhkan Kerajaan Sabah sehingga kes Covid melambung.

“Apabila kes telah meningkat dan tidak terkawal, mereka Daruratkan Negara sehingga Istana campur tangan demi meletakkan Negara dalam keadaan keluar dari Darurat.

“Hari ini, mereka bercakap soal rakyat walhal saban hari sehingga hari ini, mereka memikirkan soal Politik untuk melemahkan Umno,” katanya.

Terdahulu, Hamzah memberi kenyataan mengenai desakan perwakilan Perhimpunan Agung Umno (PAU) dan Kongres DAP yang meminta parti mereka tidak mengambil mana-mana ahli Bersatu yang melompat kerana dianggap pengkhianat.

Hamzah menjelaskan, itu hanyalah penakrifan dan persepsi yang ditimbulkan oleh Umno sahaja.

“Jika PAU (Perhimpunan Agung Umno) menganggap lompat parti adalah satu khianat, saya Menteri Dalam Negeri yang tidak mengkhianati rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here