“ITU dia (Zul Ariffin) gatal sebenarnya. Benda boleh ditolak, tapi dia memilih sedap. Dia terimalah benda (hukuman) tu kan,” kata penyanyi rock legenda tanah air, Datuk Awie.
Awie berkata demikian apabila ditanya mengenai isu sensasi perkongsian adegan berani oleh Pelakon Terbaik Festival Filem Malaysia, Zul Ariffin dalam Instagram, baru-baru ini.
Awie berkata, tindakan Zul itu seperti menconteng arang kepada industri hiburan tanah air.
Jelas Awie lagi, Zul sebenarnya boleh memilih sama ada menolak atau menerima sahaja tuntutan skrip berhubung adegan aksi ranjang yang sama sekali tidak sesuai dari sudut Islamik.
“Pada saya, dia sudah menconteng arang kepada industri yang berkonsepkan Islam, khususnya di Malaysia kerana industri kita masih lagi tidak ada sifat keterbukaan dalam sudut sebegitu.
“Benda itu (babak ranjang) tak wajar, kalau nak buat, buatlah di Singapura ke, Indonesia ke, Filipina ke lainlah…benda boleh tolak tapi dia memilih sedap, jadi dia kena terimalah benda (hukuman) itu,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Menurut Awie, dia tidak boleh menyalahkan mana-mana pihak, namun berpendapat lakonan babak itu boleh dielak bergantung kehendak seseorang pengarah ataupun pelakon.
“Dari sudut seorang pelakon dan pengarah yang berkaliber, mereka boleh masukkan unsur-unsur Islamik dalam lakonan atau tidak.
“Pandangan saya, dari sudut Islam tentulah tak elok, kita nampak sebagai satu (adegan) ranjang, tapi dari sudut lakonan yang mereka tak memikirkan soal itu, itu terpulang pada mereka,” katanya.
Jumaat lalu, Zul mengejutkan negara apabila berkongsi klip video publisiti awal drama lakonannya bersama pelakon baharu Siti Hariessa berjudul ‘Perempuan Itu’.
Antara babak panas adalah aksi Zul mendukung Siti Hariesa seperti sedang berasmara serta adegan Hariesa menyuap ‘whipping cream’ ke mulut Zul.
Isu tersebut turut mendapat perhatian ramai pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) iaitu Datuk Idris Ahmad yang berpendapat babak tersebut tidak sesuai disiarkan terutama pada bulan Ramadan nanti.
Malah, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan Zul akan disiasat bawah Seksyen 233 Akta KMM kerana membuat perkongsian yang menyalahi undang undang. – Malaysiapost

