‘Umno perlu kecerdasan baharu untuk kembali jadi parti peneraju’ – Zahid

0
1

KERJASAMA ahli dan pemimpin Umno mestilah erat, padu serta ampuh dalam usaha merealisasikan hasrat menjadikan Umno sebagai parti peneraju di Malaysia, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu, berkata untuk tujuan itu Umno mesti menjadi parti yang didukung dan digerakkan oleh bakat-bakat terbaik.

Katanya, perkara itu sudah ditegaskannya menerusi Projek 123 iaitu fokus Umno untuk menuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Semasa ucapan penggulungan PAU Sabtu lalu, saya telah mengumumkan Projek 123.

“Projek 123 ini adalah fokus atau agenda yang akan Umno laksanakan dalam usahanya untuk kembali menjadi parti peneraju di Malaysia,” katanya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan mengupas Projek 123 Umno yang mengandungi tiga aspek penting, untuk kefahaman semua.

Katanya, menerusi aspek satu, Iltizam dan matlamat Umno dan Barisan Nasional (BN) adalah untuk kembali menjadi kerajaan.

“Iltizam dan matlamat ini jelas. Namun, ia bukan sesuatu yang ringkas dan mudah.

“Yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya,” katanya menerusi Facebook.

Justeru, untuk merealisasikannya, Umno mesti menjadi parti yang mempunyai kecerdasan baharu untuk ditawarkan kepada negara ini secara keseluruhannya, bukan kepada orang Melayu sahaja.

“Umno akan memusatkan sumber, kekuatan serta perhatiannya untuk memastikan iltizam dan matlamat menjadi Kerajaan semula ini akan berjaya.

“Saya menyeru sekalian masyarakat di luar sana untuk bersama-sama dalam misi besar Umno ini. Marikah kita bersama-sama berusaha memberikan yang terbaik untuk negara,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan penggulungan dalam Perhimpuan Agung Umno (PAU) Sabtu lalu, Ahmad Zahid berkata, Umno komited untuk kembali mendapat mandat daripada rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) menerusi Projek 1, 2 dan 3.

Ahmad Zahid berkata, projek tersebut secara tersiratnya mempunyai tiga perkara penting yang perlu dicapai secara bersama.

Perkara penting pertama menurut beliau adalah merujuk kepada matlamat besar Umno untuk kembali menjadi kerajaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here