WISMA Putra akan melatih lebih ramai penterjemah serta menempatkan Atase Bahasa dan Kebudayaan di kedutaan-kedutaan Malaysia di luar negara.
Pada masa sama Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata pihaknya juga akan memperkasakan kelas Bahasa Melayu di kedutaan-kedutaan Malaysia.
Menurutnya, ia seiring dengan iltizam kerajaan yang diusulkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin ASEAN untuk cadang penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.
Bagi tujuan itu, Saifuddin berkata pagi tadi beliau berbincang dengan Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan dan Prof Madya Dr Hasuria Che Omar daripada Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM).
“Ia tentang usaha dan langkah bagi memperkasa dan memartabatkan Bahasa Melayu dalam urusan diplomatik dan hubungan antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu Perdana Menteri berkata, Kementerian Luar akan mewujudkan Unit Bahasa dan Kebudayaan di setiap pejabat kedutaan negara, selain menyediakan kelas Bahasa Melayu untuk pegawai dan anak mereka yang berada di luar negara.
Ini kerana katanya, sesetengah anak pegawai diplomatik kurang mahir berbahasa Melayu kerana mereka memasuki kelas di sekolah antarabangsa.
Malah sesetengah pegawai itu tidak pulang ke Malaysia sebaliknya ‘cross posting’ dihantar ke negara lain secara berterusan. – Malaysiapost

