KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengakui terdapat masalah teknikal membabitkan hantaran janji temu tempahan slot vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera.
Unit MySejahtera KKM dalam satu kenyataan, hari ini memaklumkan berlaku isu teknikal dimana sistem MySejahtera telah menghantar pautan janji temu untuk dos penggalak kepada kumpulan remaja, iaitu golongan berusia 17 tahun dan ke bawah.
Menurutnya, memandangkan janji temu dalam sistem berkenaan dihantar secara automatik, terdapat juga individu dewasa yang sudah pun menerima dos penggalak, turut menerima pautan janji temu untuk dos penggalak.
“Adalah menjadi dasar KKM buat masa ini menyarankan dos penggalak hanya diberikan kepada individu dewasa berusia 18 tahun dan ke atas serta tiada dos penggalak kedua atau dos keempat diberikan kepada umum.
“Oleh itu ibu bapa atau penjaga remaja berusia 17 tahun dan ke bawah serta individu dewasa yang telah mendapat dos penggalak, yang mendapat pautan janji temu diminta mengabaikannya.
“Sekiranya anda telah pun membuat janji temu dos penggalak untuk tanggungan anda atau untuk dos keempat melalui pautan berkenaan, Sila batalkan janji temu tersebut,” katanya.
Menurut KKM, mereka juga tidak perlu hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan semua PPV sudah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.
“PPV juga akan menolak kehadiran remaja untuk dos penggalak dan juga individu yang hadir untuk dos penggalak kedua atau dos keempat.
“Pasukan teknikal MySejahtera sedang memperbetulkan perkara ini dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul daripada masalah teknikal ini,” katanya. – Malaysiapost

