PAKATAN Harapan (PH) perlu mengkaji semula memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai jika kerajaan masih berdolak-dalik berhubung pendirian pelaksanaan Akta Anti Lompat Parti.
Pemimpin PKR, Farhash Wafa Salvador berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti perlu dibahas, dibentang dan diluluskan dalam persidangan Dewan Rakyat dengan kadar segera.
“Peristiwa Langkah Sheraton yang menyebabkan sistem demokrasi kian tercemar serta menjejaskan kestabilan politik negara perlu dijadikan iktibar agar rakyat tidak muak dengan sikap ahli politik yang dianggap mempermainkan undi mereka.
“Pilihan Raya Umum Ke-15 dijangka diadakan sejurus MoU antara PH dan kerajaaan tamat pada Julai 2022, maka ini salah satu jaminan kepada rakyat tidak timbul lagi soal wakil rakyat lompat parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bekas Pengerusi PKR Perak itu menegaskan, RUU Anti Lompat Parti akan memberi keyakinan kepada pengundi muda terhadap senario politik negara.
“Seiring perlaksanaan Undi 18 dan pendaftaran secara automatik, gambaran jelas diberikan anak muda sangat negatif dan sebahagian besarnya tidak berminat untuk sekurang-kurangnya peka terhadap isu-isu politik, apatah lagi untuk mereka menceburinya.
“Secara tidak langsung, anak-anak muda akan lebih yakin dengan sistem politik negara dan ia bakal diterjemahkan dengan peningkatan pelaburan asing di Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

