Kos pengambilan seorang pekerja Indonesia ditetap RM7,800

0
1

KERAJAAN memaklumkan kos pengambilan pekerja domestik Indonesia ditetapkan sebanyak RM7,800.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata RM6,000 daripada kos itu ditanggung pihak Malaysia manakala selebihnya di pihak Indonesia.

Menurutnya, penetapan kos itu adalah seperti dimuktamadkan dalam memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia.

“Untuk makluman, MoU ini telah menetapkan kos (pengambilan pekerja domestik Indonesia) iaitu RM7,800…jadi kalau ada satu caj atau bayaran yang melebihi seperti (kos) ini boleh buat laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan P Kasthuriraani (PH-Batu Kawan) yang ingin tahu kos secara terperinci dibayar pemohon kepada ejen pengambilan pekerja domestik Indonesia sebelum wabak Covid-19 dan bilangan agensi yang terlibat dalam pengambilan pekerja migran dari Bangladesh.

Dalam pada itu, Awang Hashim menjelaskan, mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Disember 2021 bersetuju supaya pengambilan pekerja asing warga Bangladesh adalah menerusi 275 Agensi Pekerjaan Bangladesh.

Tegasnya, bagi mencegah rasuah dan eksploitasi kemasukan pekerja migran ke negara ini, beberapa langkah yang diambil adalah melalui pewujudan MoU berhubung penggajian pekerja asing dengan pihak negara sumber yang bertujuan memberi perlindungan sewajarnya dari segi hak dan kebajikan pekerja serta menjaga kepentingan majikan.

Selain itu, Awang berkata ia bertujuan membanteras sindiket yang memonopoli, mengeksploitasi dan mengawal kemasukan pekerja asing ke Malaysia.

“Hanya Agensi Pekerjaan Swasta yang berdaftar di bawah Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 [Akta 246] dibenarkan membantu majikan menguruskan segala urusan penempatan pekerja asing di negara ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here