TIADA unsur khianat dan jenayah dalam insiden kebakaran di tingkat satu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang membabitkan pejabat Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan pejabat Pegawai Penyiasat Kanan (SIO) semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata perkara berkenaan disahkan Bahagian Siasatan Kebakaran, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor yang diketuai Penguasa Kanan II Azlan Rahmat yang selesai melakukan siasatan di lokasi sehingga 10.30 malam tadi.
“Tiada kertas siasatan yang terbakar,” katanya.
Jelasnya, siasatan kebakaran di IPD Sepang itu turut disertai 21 anggota dan unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor yang berada lokasi sejak 8.30 malam tadi.
Wan Kamarul Azran berkata, pemeriksaan awal mendapati hampir keseluruhan pejabat di BSJ mengalami kerosakan akibat kebakaran berkenaan.
Kerosakan lain yang dikenal pasti adalah seperti gangguan talian internet kerana kabel fiber optik turut terbakar.
Malah, Insiden kebakaran itu turut tular di media sosial. – Malaysiapost

